Majlis Pelancaran Pertandingan Kreativiti & Inovasi PINTAR Peringkat Nasional

Tarikh: 
28/02/10 (All day)
Lokasi: 
Sekolah Kebangsaan Permatang Buloh, Tasek Gelugor
MAJLIS PELANCARAN
PERTANDINGAN KREATIVITI & INOVASI PINTAR PERINGKAT NASIONAL  
 
UCAPAN OLEH
TAN SRI NOR MOHAMED YAKCOP
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
 
 
Yang Berhormat Ustaz Shabudin Yahaya
Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Berangan
 
Yang Berhormat Dato Jasmin Mohamad
Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Dua
 
Yang Berhormat Dato’ Jahara Hamid
Ahli Dewab Undangan Negeri Teluk Air Tawar
 
Yang Berbahagia Dato’ Hajah Noor Rezan binti Bapoo Hashim
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran
Sektor Operasi Pendidikan
 
Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Azman Haji Mokhtar
Pengarah Urusan, Khazanah Nasional Berhad
merangkap Sekretariat Jawatankuasa Putrajaya Bagi Prestasi Tinggi GLC (PCG)
 
Yang Berusaha Encik Ibrahim bin Mohammad
Pengarah Pelajaran Pulau Pinang
 
Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Arshad Ayub,
Pengerusi Ahli-ahli Pemegang Amanah, PINTAR Foundation
 
Yang Berusaha Puan Hajah Norhayati binti Saad
Guru Besar, SK Permatang Buloh, Tasek Gelugor
 
Ahli-ahli Pemegang Amanah PINTAR Foundation,
 
Yang Berbahagia Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’
 
Yang Berusaha Pengarah-pengarah Jabatan Pelajaran Negeri 

Wakil Media Massa, Tuan-tuan, Puan-puan, Hadirin yang dihormati sekalian.
 
Assalamualaikum warrahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
 
Alhamdulillah, syukur saya ke hadrat Allah subhanahu wata’ala kerana dengan limpah kurnia serta rahmatnya dapat kita bersama-sama berkumpul pada hari ini untuk menyaksikan pelancaran Pertandingan Kreativiti & Inovasi PINTAR Peringkat Nasional di Sekolah Kebangsaan Permatang Buloh, Tasek Gelugor. Pulau Pinang.
 
2.      Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada pihak Sekretariat JawatankuasaPutrajaya Bagi Prestasi Tinggi GLC (PCG), Syarikat-syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), PINTAR Foundation serta ahli PINTAR atas usaha serta komitmen masing-masing dalam membantu Kerajaan merealisasikan inisiatif ini, yang menjurus kepada pembangunan modal insan negara dan melahirkan golongan yang bakal memimpin negara pada suatu hari nanti. Syabas saya ucapkan kepada semua yang terlibat.
 
Hadirin sekalian,
 
3.      Masih jelas dalam ingatan saya perjumpaan di antara saya dengan beberapa ketua pegawai GLC semasa moreh di majlis berbuka puasa anjuran Khazanah Nasional pada bulan oktober 2006. Ketika berbincang, saya telah melontarkan pendapat bahawa pihak Korporat, terutamanya GLC, wajar memainkan peranan yang lebih aktif dalam menyokong usaha Kerajaan meningkatkan prestasi murid-murid, terutamanya di sekolah luar bandar.Saranan saya diterima baik oleh semua yang hadir. Pada malam yang mulia itulah lahirnya program PINTAR, yang kemudian dilaksanakan sebagai program sekolah angkat.
 
4.      Program PINTAR telah dirangka secara holistik supaya tidak hanya tertumpu kepada aspek akademik dan peperiksaan. Asas program PINTAR adalah bagi membantu pelajar memenuhi potensinya, dalam apa jua bidang yang diceburi. Tumpuan diberikan kepada sekolah di kawasan luar bandar serta komuniti yang kurang berkemampuan. Pendekatan ini adalah selaras dengan dasar pembangunan negara, di mana Kerajaan berusaha memastikan tiada komuniti atau lapisan masyarakat yang ketinggalan dalam arus pembangunan ekonomi. Kerajaan mahu mengelakkan sama sekali situasi di mana latarbelakang  taraf ekonomi atau etnik seseorang itu menjadi batasan kepada pencapaiannya di masa hadapan. 
 
5.      Melalui PINTAR, program-program khusus disusun rapi bagi memberi kesedaran dan bagi meningkatkan motivasi mereka melalui pendidikan. Contoh aktiviti yang dijalankan di sesebuah sekolah angkat termasuk kem motivasi, kelas tambahan, bengkel kemahiran menulis dan membaca serta lawatan sambil belajar. Penglibatan syarikat GLC dengan sekolah angkatnya tidak terhad kepada sumbangan kewangan sahaja. Aktiviti PINTAR juga melibatkan kakitangan GLC secara sukarela dan ini adalah penting bagi membuka minda para pelajar serta memberikan model atau idola yang sesuai dijadikan contoh untuk kejayaan hidup mereka.
 
6.      Saya amat gembira kerana dalam jangka masa singkat, program PINTAR dapat berkembang dengan begitu pesat. Program PINTAR yang telah dilancarkan pada Disember 2006, bermula di Pulau Pinang dengan hanya beberapa buah sekolah yang terlibat. Kini, PINTAR telah berkembang ke seluruh negara dan melibatkan 179 buah sekolah. Pencapaian yang ditunjukkan oleh sekolah angkat juga amat memerangsangkan.
 
Hadirin sekalian,
 
7.      Saya yakin syarikat-syarikat korporat akan terus memainkan peranan aktif dalam aktiviti Tanggungjawab Korporat mereka dengan menganjurkan aktiviti dan program yang mendedahkan pelajar dan generasi muda negara kepada cara pembelajaran yang lebih menarik dan menyeronokkan. Para pelajar harus diberikan kesedaran bahawa kelemahan dalam pelajaran bukan bererti mereka tidak akan mencapai kejayaan di alam pekerjaan, kerana masih banyak peluang untuk mereka berjaya, sekiranya mereka mempunyai sikap yang positif, ditambah dengan kebolehan dan bakat   di dalam bidang-bidang tertentu. Dan di sinilah, pihak Korporat dan sekolah boleh berganding bahu dengan menganjurkan program dan aktiviti yang dapat memupuk serta mencungkil bakat pelajar, justeru memupuk minat mereka dan melihat pendidikan di sekolah dari pandangan yang berbeza dan lebih meluas. Nasihat saya kepada pelajar adalah supaya terus gigih dan menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh. Percayalah, ilmu yang diperoleh di bangku sekolah merupakan pelaburan ke arah masa hadapan yang lebih cerah; ianya akan membantu menukar nasib anda, membuka pelbagai pintu peluang untuk kita terus maju ke hadapan.
 
Hadirin sekalian,
 
8.      Saya amat kagum dengan komitmen semua yang terlibat dalam program PINTAR. Dari tayangan video sebentar tadi, saya dapat lihat kesungguhan bukan sahaja oleh pihak syarikat tetapi juga guru sekolah dan ibubapa yang turut terlibat dalam aktiviti bagi meningkatkan motivasi dan prestasi para pelajar. Ini merupakan harapan saya ketika melancarkan PINTAR beberapa tahun dahulu, dan saya amat gembira dengan apa yang saya saksikan pada hari ini, kerana harapan itu telah benar-benar diterjemahkan, bukan saja dengan jumlah penyertaan syarikat di bawah program ini, malah kepelbagaian aktiviti yang dijalankan bagi memenuhi objektif dan misi program PINTAR.
9.      Seterusnya, inisiatif PINTAR Foundation untuk memperluaskan program ini menjadi program peringkat nasional yang bersepadu dan membabitkan kesemua sekolah PINTAR seluruh negara adalah penting bagi memastikan kesinambungan program dan aktiviti yang berterusan. Pendekatan secara holistik dengan tema-tema tertentu pasti mampu menarik minat pelajar kerana ianya lebih fokus pada satu-satu topik dan para pelajar berpeluang untuk memahami ilmu dan kemahiran yang cuba disampaikan dengan lebih mudah. Saya difahamkan dan juga telah menyaksikan dari video sebentar tadi, bagaimana Kenderaan Bergerak PINTAR yang telah dan akan terus menjelajah ke seluruh Malaysia untuk mendekati para pelajar, terutamanya yang berada di luar bandar agar mereka berpeluang merasai apa yang dirasai oleh rakan mereka di bandar. Saya pasti, dengan pelbagai aktiviti yang berbentuk interaktif dan berinovasi, para pelajar dapat merasai cara pembelajaran yang berbeza, yang lebih menarik dan menyeronokkan. Ini lah yang kita perlu suntik dan terapkan ke dalam cara pembelajaran kita sekarang, agar para pelajar merasa keseronokkan dan dapat merasai sendiri pengalaman melakukan sendiri apa yang sedang mereka pelajari.
 
10.    Tema Program Nasional PINTAR yang dipilih juga turut bertepatan dengan saranan Kerajaan untuk menjadikan tahun 2010 sebagai Tahun Inovasi & Kreativiti. Dan dengan terlancarnya program ini nanti, saya berharap ianya akan dapat melahirkan lebih ramai generasi muda negara yang lebih kreatif dan berinovasi. Suasana pembelajaran perlu beralih, supaya pelajar tidak bergantung sepenuhnya kepada guru. Budaya berfikir perlu dipupuk dengan interaksi di antara murid dan rakan sekelas bagi mencetuskan percambahan idea yang inovatif. Pendekatan ini adalah selaras dengan Wawasan 2020 supaya Malaysia dapat mencapai status negara maju dengan ekonomi yang berteraskan pengetahuan dan didokong inovasi.
 
11.    Di sini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada syarikat-syarikat GLC yang juga merupakan ahli kepada program PINTAR serta institusi-institusi korporat yang lain yang telah terlibat secara langsung atau tidak dalam menjayakan program PINTAR selama ini. Saya juga ingin menyeru lebih banyak syarikat Korporat, terutamanya dari Pulau Pinang, untuk tampil dan turut serta menjadi sebahagian daripada program PINTAR ini. Saya yakin banyak lagi sekolah-sekolah yang memerlukan bantuan dari segi sokongan moral, motivasi, pembangunan sahsiah dan kemahiran tertentu, terutama bagi sekolah-sekolah di luar bandar di sekitar Pulau Pinang khasnya, dan juga di seluruh negara amnya.
 
12.    Semoga segala usaha kita ini selama ini akan terus dipermudahkan dan diberkati Allah subhanahu wata’ala, demi pembangunan anak bangsa yang bakal memimpin negara pada masa hadapan.
 
Dengan itu, bersama lafaz ”Bismillaahirrahmaanirrahim”, saya dengan ini melancarkan “Pertandingan Kreativiti & Inovasi PINTAR Peringkat Nasional 2010”.
 
Sekian. Terima kasih.
 
Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
 
Jabatan Perdana Menteri
Putrajaya
28 Februari 2010
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 



Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tasek Gelugor,
No 6, Jalan Merbau Indah,
Taman Merbau Indah Sungai Dua,
13800 Butterworth, Pulau Pinang.

Tel: 04-356 5801 Fax: 04-356 5802

 
Hantar
Maklumbalas Kepada Y.B.

1 + 3 =
Solve this simple math problem and enter the result. E.g. for 1+3, enter 4.