MAJLIS GRADUASI PROGRAM PEMBANGUNAN WAKIL PENIAGA SAHAM PRIBUMI DAN PELANCARAN BUKU IKON PLC BUMIPUTERA

Tarikh: 
08/01/10 (All day)

MAJLIS GRADUASI PROGRAM PEMBANGUNAN WAKIL
PENIAGA SAHAM PRIBUMI
DAN
PELANCARAN BUKU IKON PLC BUMIPUTERA

ANJURAN
PERSATUAN REMISIER BUMIPUTERA MALAYSIA (PRIBUMI)
DAN
GAGASAN BADAN EKONOMI MELAYU (GABEM)

UCAPTAMA OLEH
Y.B. TAN SRI NOR MOHAMED YACKOB
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI

HOTEL DEPALMA
AMPANG, SELANGOR

8 JANUARI 2010

Bismillahirrahmanirahim

YBhg. Tan Sri Zarinah Anwar Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti;

YBhg. Tan Sri Rahim Tamby Chik Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM);

YBhg. Dato’ Yusli Mohamed Yusoff Ketua Pengawai Eksekutif Bursa Malaysia;

YBhg. Dato’ Noriyah Ahmad Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi;

Puan Huda Ikhwan Presiden Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia (PRIBUMI);

Dif-dif kehormat;

Para hadirin yang saya hormati sekalian.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarahkatu dan salam sejahtera.

Syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya dapat kita bersama di Majlis Graduasi Program Pembangunan Wakil Peniaga Saham Pribumi dan Pelancaran Buku Ikon PLC Bumiputera. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia (PRIBUMI) dan Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) kerana telah menjemput saya untuk merasmikan majlis pada hari ini.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

2. Pasaran modal negara telah berkembang dengan pesat dan telah banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Sumber pembiayaan dari pasaran modal telah menyediakan alternatif kepada syarikat-syarikat untuk memperolehi akses kepada sumber pembiayaan yang lebih kos efektif, terutamanya daripada pasaran ekuiti dan pasaran bon.

3. Pasaran modal negara telah menempa pelbagai kemajuan serta mencapai tahap kestabilan dan kematangan yang optimal. Ini jelas terbukti di kala krisis kewangan dan ekonomi global baru-baru ini. Walaupun krisis tersebut telah menjejaskan ekonomi dan pasaran kewangan tempatan, pasaran modal negara telah menunjukkan daya tahannya yang tegar, seterusnya menghindari kesan risiko sistemik seperti yang telah melanda sistem kewangan di negara-negara maju.

4. Bagi keseluruhan tahun 2009, prestasi pasaran modal negara adalah memberangsangkan. Penerbitan sekuriti telah meningkat, dengan terbitan terbesar sebanyak 11.2 bilion ringgit oleh penyenaraian semula Maxis Berhad. Di samping itu, beberapa syarikat antarabangsa juga telah diberi kelulusan untuk disenaraikan di negara ini. Selain itu, pasaran bon negara, yang kini merupakan yang terbesar di rantau ASEAN, juga telah kembali cergas, dengan penerbitan berjumlah 61.3 bilion ringgit berbanding 56.3 bilion ringgit pada tahun 2008. Perkembangan ini mencerminkan kembalinya keyakinan pelabur ke dalam pasaran modal tempatan.

5. Dalam usaha kita menuju ke arah mencapai ekonomi berpendapatan tinggi berasaskan produktiviti, teknologi, inovasi dan kreativiti, pasaran saham negara perlu terus memainkan peranan utama, terutamanya dalam menyediakan saluran penjanaan pembiayaan yang mencukupi bagi aktiviti ekonomi serta pelaburan. Dalam hal ini, adalah penting bagi mempastikan keyakinan pelabur ke atas integriti pasaran modal, agar ianya dapat merangsang lebih banyak pelaburan di dalam pasaran modal negara.

6. Dalam konteks ini, wakil peniaga (dealer representatives) merupakan pengantara penting dalam membangunkan pasaran modal. Oleh yang demikian, untuk mempastikan pasaran terus dinamik dan kekal stabil, wakil peniaga perlu menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada para pelabur serta mengamalkan budaya berintegriti, di samping mematuhi keperluan kawal selia. Mereka harus bertanggungjawab melindungi kepentingan para pelabur serta memenuhi kehendak pelabur yang kini lebih sophisticated dan pelbagai.

7. Peralihan kepada perkhidmatan berkualiti tinggi memerlukan penjanaan dan penggunaan pengetahuan yang lebih meluas, serta diterajui oleh tenaga kerja berkemahiran tinggi dan penggunaan teknologi secara intensif. Oleh itu, melangkah ke hadapan, kejayaan industri pasaran modal banyak bergantung kepada usaha melahirkan tenaga kerja berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.

8. Untuk ini, wakil peniaga perlu senantiasa membina dan meningkatkan keupayaan mereka, melalui melengkapkan diri dengan kemahiran serta menambah pengetahuan yang berkaitan. Oleh itu, kita harus menekankan usaha meningkatkan program latihan, dan mempastikan tenaga kerja mempunyai pengetahuan, kemahiran dan keupayaan inovasi yang menepati keperluan pasaran.

9. Untuk mempastikan lebih ramai Bumiputera yang terlibat dalam perniagaan ini mempunyai kemahiran tinggi, Suruhanjaya Sekuriti telah menyediakan beberapa dana khusus untuk memenuhi keperluan latihan. Ini termasuk Dana Latihan Bumiputera serta Dana Wakil Peniaga Bumiputera.

10. Dana Latihan Bumiputera telah ditubuhkan pada tahun 1997, dengan sumbangan sebanyak satu juta ringgit daripada SC dan satu juta ringgit lagi daripada Bursa Malaysia, serta 50 ribu ringgit daripada setiap syarikat broker saham. Tujuan Dana ini ialah untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja syarikat broker saham Bumiputera, termasuk remisier. Setakat ini sebanyak 56 program latihan telah diadakan, yang telah memberi manfaat kepada 934 peserta Bumiputera.

11. Pada masa ini, bilangan wakil peniaga Bumiputera masih kecil. Daripada sejumlah hampir 5,000 lesen wakil perkhidmatan pasaran modal (Capital Market Services Representatives Licenses), sebanyak 25 peratus merupakan Bumiputera. Untuk melahirkan lebih ramai serta meningkatkan lagi kemahiran dan kualiti wakil peniaga Bumiputera, Dana Wakil Peniaga Bumiputera telah ditubuhkan pada tahun 2003, dengan dana sebanyak 5 juta ringgit.

12. Dana ini menyediakan bantuan kewangan seratus peratus kepada wakil peniaga Bumiputera memperolehi professional qualification, dengan mengikuti kursus professional dalam bidang-bidang berkaitan pasaran modal. Kursus-kursus ini termasuk Certified Financial Planner, Chartered Financial Analyst, Diploma in Technical Analysis dan Islamic Financial Planner Certificate. Setakat ini, walaupun 415 permohonan telah diluluskan, hanya 65 peserta telah tamat menjalani kursus. Saya berharap lebih ramai wakil peniaga Bumiputera memanfaatkan sepenuhnya Dana ini, demi memperkasakan lagi penyertaan Bumiputera dalam bidang ini.

13. Sesungguhnya, semua wakil peniaga seharusnya merebut peluang sepenuhnya daripada dana-dana yang telah disediakan ini untuk meningkatkan kemahiran mereka dan menjadi wakil peniaga yang berkaliber dan berjaya. Di samping itu, saya juga menyeru mereka yang telah berjaya untuk membantu usaha-usaha mentoring kepada graduan dan pemegang lesen broker saham baru. Saya difahamkan bukan sahaja kemasukan bilangan wakil peniaga baru Bumiputera masih kecil, malahan kebanyakan (83 peratus) daripada semua wakil peniaga kini berusia lebih 40 tahun. Oleh itu, kita perlu berusaha dengan lebih gigih untuk menarik lebih ramai graduan muda Bumiputera untuk menceburi industri ini.

14. Dalam persekitaran yang lebih kompetitif pada masa kini, wakil peniaga juga perlu meningkatkan nilai tambah perkhidmatan mereka, terutamanya dalam menghadapi saingan daripada perkhidmatan perniagaan internet yang kian berkembang pesat. Mereka juga perlu mempelbagaikan perniagaan supaya tidak hanya bergantung kepada perniagaan saham sahaja. Misalnya, mereka boleh berusaha mendapatkan dual-license, yang membolehkan mereka menjalankan perniagaan pasaran hadapan (futures trading).

15. Pada masa yang sama, usaha menarik lebih ramai pelabur baru perlu dipertingkatkan. Sepertimana yang kita maklum, ekonomi global sedang beralih ke arah satu era baru di mana nexus pertumbuhan global akan berubah. Peralihan ini dijangka menjadikan ekonomi negara-negara Asia lebih dinamik dan akan menarik lebih ramai pelabur global ke rantau ini. Oleh itu, kita perlu memanfaatkan peluang ini untuk menarik lebih ramai pelabur untuk melabur di dalam negara. Untuk ini, kita semestinya menjadi lebih kompetitif dengan menyediakan perkhidmatan yang bernilai tambah tinggi, mematuhi piawaian profesional (professional standards) serta mengamalkan perniagaan berasaskan international best practices. Hanya dengan ini kita akan mampu menarik kemasukan modal yang lebih besar dan mapan ke dalam negara. Para hadirin yang dihormati sekalian,

16. Saya amat berbangga dengan inisiatif PRIBUMI menjalankan Program Pembangunan Wakil Peniaga Saham bagi meningkatkan keupayaan dan kebolehan Remisier Bumiputera untuk diiktiraf sebagai wakil peniaga. Melalui persijilan yang diiktiraf oleh Suruhanjaya Sekuriti ini, wakil peniaga Bumiputera boleh berperanan sebagai pengantara syarikat tersenarai dengan para pelabur, khususnya pelabur Bumiputera. Untuk menyokong usaha murni PRIBUMI ini, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak satu juta ringgit untuk melaksanakan Program ini.

17. Syukur Alhamdulillah, hasil daripada usaha PRIBUMI ini, kita dapat menyaksikan kumpulan perintis Program ini, iaitu seramai 49 peserta, yang telah berjaya lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan kelayakan Suruhanjaya Sekuriti. Dengan ini, mereka layak menjawat jawatan sebagai wakil peniaga di syarikat broker saham tempatan. Ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan, lebih lagi kerana saya difahamkan kadar kelulusan sebanyak 90 peratus ini adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan kelulusan purata industri, iaitu hanya 34 peratus. Tahniah saya ucapkan kepada semua peserta yang telah berjaya.

18. Pada majlis hari ini, kita juga menyaksikan pelancaran buku kompilasi IKON PLC Bumiputera. Buku ini memaparkan beberapa individu Bumiputera yang boleh dijadikan ikon usahawan Bumiputera dalam pasaran saham. Individu ikon seperti ini perlu ditonjolkan agar mereka dapat menjadi role model kepada kesemua pihak yang terlibat dan berminat dengan sektor ini. Oleh itu, saya yakin Buku ini akan memberi banyak manfaat kepada peserta-peserta yang terlibat dalam pasaran saham negara. Saya mengucapkan syabas dan setinggi-tinggi tahniah kepada PRIBUMI di atas usaha mereka yang telah berjaya menerbitkan Buku ‘Ikon PLC Bumiputera 2009’ ini. Para hadirin yang dihormati sekalian,

19. Melangkah ke hadapan, cabaran utama kita ialah mempastikan kita terus berdaya tahan dan berdaya maju dalam menghadapi persekitaran global yang lebih kompetitif. Dalam aspek pasaran modal, kita perlu bersaing dengan lebih banyak negara-negara di rantau ini untuk menarik kemasukan pelaburan yang lebih besar. Untuk ini, peserta-peserta pasaran modal perlu menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi yang diterajui oleh tenaga kerja yang mantap dan bertaraf global.

20. Saya yakin Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia (PRIBUMI) dan Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) akan terus memainkan peranannya dalam mempastikan penglibatan lebih ramai peniaga saham Bumiputera yang berwibawa dalam usaha Kerajaan mewujudkan pasaran modal yang stabil dan progresif.

21. Akhir kata, dengan lafaz Bismillah-Hirrahman-Nirrahim, saya dengan ini merasmikan Majlis Graduasi Pembangunan Wakil Peniaga Saham serta Pelancaran Buku Ikon PLC Bumiputera.

Sekian, terima kasih.

Wasalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Jabatan Perdana Menteri Putrajaya
8 Januari 2010



Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tasek Gelugor,
No 6, Jalan Merbau Indah,
Taman Merbau Indah Sungai Dua,
13800 Butterworth, Pulau Pinang.

Tel: 04-356 5801 Fax: 04-356 5802

 
Hantar
Maklumbalas Kepada Y.B.

6 + 6 =
Solve this simple math problem and enter the result. E.g. for 1+3, enter 4.